Oleh MUHAMMAD IQBAL
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w akan membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Perbandingan antara kedua-duanya bagaikan seseorang yang mencelupkan jari-jarinya ke dalam lautan, maka (dunia bagaikan air) yang melekat pada jari-jarinya itu. Namun demikian baginda s.a.w tidak menganjurkan agar kita meninggalkan dunia sama sekali.
Demikian juga gambaran Nabi s.a.w tentang dunia bagaikan penjara bagi orang yang beriman, bermaksud kehidupan kita ini ada peraturan yang harus dipatuhi dan tidak boleh lepas bebas, bagaikan orang yang hidup dalam sebuah penjara. Sebaliknya dunia bagaikan syurga bagi orang kafir (yang mengingkari kewujudan Allah) kerana anggapan dunia adalah tempat yang menyenangkan dan bebas hidup tanpa ada batasan yang mengikatnya.
Nabi s.a.w menyatakan dunia dibahagikan kepada tiga, satu pertiga dimakan, satu pertiga dipakai dan satu pertiga lagi disedekahkan; hanya yang ketiga ini akan dipetik hasilnya.
Akan tetapi timbul pertanyaan, dapatkan manusia memisahkan dirinya sama sekali daripada harta dan bentuk kesenangan duniawi? Bukankah para sahabat utama Rasulullah s.a.w seperti Abu Bakar, Uthman dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang kaya. Kezuhudan mereka ini ternyata tidak menghalangnya untuk mencari kekayaan duniawi.
Justeru pengertian zuhud bukan bererti semata-mata tidak mahu memiliki harta dunia tetapi suhud sebenarnya adalah pemikiran yang tidak mudah dipengaruhi oleh kesenangan duniawi dalam tujuan mengabdikan diri semata-mata kepada Allah s.w.t.
Pengertian zuhud seperti ini amat dekat dengan maksud firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira dengan apa yang diberikan kepada kamu.” (al-Hadid: 23)
Justeru, pemilikan harta benda tidak dilarang tetapi harta tersebut tidak boleh mempengaruhi seseorang dalam mendekatkan dirinya kepada Allah. Lebih jauh lagi, makna zuhud dalam kaitannya dengan akhlak Islamiah ialah bagaimana sikap batin seseorang itu dalam menghadapi dunia ini. Dalam konteks kehidupan sosial contohnya, bagaimana kezuhudan seseorang itu dapat menyelamatkan manusia daripada sesuatu yang boleh menghancurkan kehidupan ini.
Hakikat pemaknaan zuhud dalam kehidupan sosial ialah sikap protes seseorang terhadap dunia seperti ketempangan sosial, politik dan ekonomi. Kezuhudan Abu Dzar (sahabat Nabi) yang memprotes kehidupan mewah pemerintahan Khalifah Uthman boleh diberi makna sebagai gerakan protes sosial.
Pemaknaan zuhud sebagai reaksi terhadap situasi setempat yang bobrok dan penuh kemaksiatan ini juga yang mempengaruhi Hasan al-Basri, Rabiah al-Adawiyah, Ibrahim Adham, Al-Ghazali sehingga bertindak mengasingkan diri. Ia dianggap sebagai satu protes.
Demikian juga konsep kezududan Al-Farabi yang menitikberatkan kepada intelektual dan analisis. Seseorang itu dapat mencapai makrifat Allah s.w.t apabila mampu meningkatkan kualiti intelektualnya. Konsep ini sesuai dengan kehidupan intektual Islam pada masa itu yang sedang di puncak kejayaan.
Jelas bahawa pemikiran ulama sufi, baik ulama klasik atau pertengahan tentang zuhud dapat difahami sebagai akhlak Islam dan gerakan sosial yang dilihat berbeza-beza sesuai dengan konteks sosial pada zaman masing-masing.
Perilaku zuhud menurut Prof. Dr. Hamka, ia tidak bererti eksklusif daripada kehidupan duniawi kerana Islam menganjurkan semangat berjuang, berkorban dan bekerja keras. Bagi Hamka, kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun banyak, sebab ia nikmat Allah. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab ia semua daripada Allah.
Jika kekayaan melimpah untuk diri, ia perlu digunakan untuk membantu dalam perkara kebajikan dan membina keteguhan hati beribadah kepada Allah. Harta tidak dicintai kerana dia harta. Harta hanya dicintai sebab ia adalah pemberian Allah. Terlampau menumpahkan cinta kepada harta benda semata-mata, menyebabkan buta daripada pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada bangsa, tanah air, agama dan Allah sendiri.
Zuhud bukan menghindar kenikmatan duniawi tetapi tidak meletakkan nilai yang tinggi padanya. Dan inilah definisi zuhud daripada Rasulullah s.a.w.
Bukanlah zuhud itu menghatamkan yang halal, bukan pula mensia-siakan harta, tetapi zuhud dalam dunia ialah engkau tidak memandang apa yang di tanganmu itu lebih utama daripada apa yang ada di sisi Allah. Kekayaan, kekuasaan da kemasyuran semuanya berubah, tidak tetap dan akhirnya anda harus ditinggalkan. Lalu apa yang ada di sisi Allah? Rahmat-Nya yang meliputi segala sesuatu.
“Apa yang ada padamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal (abadi).” (al-Nahl: 96)
Apa saja yang menyebabkan manusia memperoleh keredaan Allah yang mendekatkannya kepada Dia termasuk akhirat, walaupun hal-hal tersebut nampak seperti urusan dunia seperti perdagangan, pertanian dan industri. Kerajinan yang ditujukan bagi mendapatkan nafkah untuk keluarga, bersedekah untuk kesejahteraan orang miskin dan melarat, dan menghindar diri daripada kebergantungan kepada bantuan orang lain.
Semua kegiatan ini dimaksudkan untuk akhirat, walaupun ada yang menganggapnya untuk dunia. Sebaliknya, latihan-latihan disiplin kerohanian yang betentangan dengan sunnah, walaupun dilakukan dengan penuh kekhusyukan dan pengabdian, dihitung untuk dunia sahaja. Ini kerana tindakan itu menyebabkan pelakunya terasing daripada Allah s.w.t dan tidak membawa manusia lebih dekat kepada-Nya.
Orang zahid adalah orang yang hidup di dunia, tetap tidak meletakkan hatinya di dunia. Mereka bekerja di dunia untuk akhirat.
No comments:
Post a Comment