Oleh W. RAHIMAH DERAMAN – Utusan Malaysia Online
BERLALU sudah 3O hari Muharam di tahun baru Hijrah 1428. Kini giliran Safar meneruskan tempoh 29 hari berikutnya. Jika Muharam bermula niat, azam dan tekad baru untuk menghijrahkan diri pada keimanan, apa pula cerita di bulan kedua dalam kalendar Hijrah bagi tahun Qamariah dalam Islam, iaitu bulan Safar ini?
Benarkah bulan Safar bulan musibah? Masih wujud lagikah amalan, adab dan budaya khurafat yang menjurus pada kufur serta syirik di kalangan umat Islam pada setiap datangnya Safar? Cerita mengenai amalan budaya Arab jahiliyah yang meresap dalam masyarakat Melayu kuno itu terus berulang tiap kali berlalunya Muharam. Malah, amalan khurafat dan mitos bulan Safar bagi yang jahil dan batil mengenai Islam itu dikatakan terus dilakukan segelintir Muslim yang rigid dengan adab dan budaya tinggalan kuno itu.
Jika benar, segeralah hentikan dengan beristighfar dan mohon keampunan pada Allah s.w.t. agar azam berhijrah pada keimanan awal Muharam lalu terus terpelihara. Perlu diingat amalan sebegini akan menjerumuskan Muslim pada kekufuran dan syirik. Soalnya, mengapa bulan Safar terus dikaitkan dengan adat, budaya dan kepercayaan khurafat, tahyul serta bidaah dengan menyifatkannya sebagai bulan sial dan penuh malapetaka.
Adakah setiap musibah atau bencana yang berlaku itu hanya di bulan Safar? Jika demikian, bagaimana dengan banjir besar dalam dua fasa di Johor yang lalu dan pelbagai bencana menggemparkan yang melanda seluruh ummah sepanjang 11 bulan lain pada setiap tahun? Logik akal sudah menjelaskan betapa dangkal, batil dan jahilnya pengamal adat, budaya dan kepercayaan karut marut sedemikian.
Mitos mengenai legenda Safar sebagai bulan sial dengan pelbagai amalan khurafat untuk menolak bala sepatutnya tidak wujud lagi. Begitu juga amalan lain yang bercanggah dengan tuntutan al-Quran dan al-sunah. Dalam kehidupan moden serba canggih hasil kemajuan dan perkembangan ilmu sekarang, umat Islam mesti membebaskan diri dari belenggu tahyul dan khurafat. Malah, sejak awal lagi Islam menegah apa juga amalan, adat mahupun budaya yang menjurus kepada khurafat dan tahyul kerana ia merosak dan memesongkan akidah serta syariah Islam. Allah s.w.t. menegaskan dalam firma-Nya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (at-Taghaabun: 11).
Al-Quran sebaliknya meninggikan martabat dan memuliakan bulan-bulan tertentu dengan janji fadilat berganda ke atas mukmin yang menjauhi kemungkaran dan kemaksiatan sama ada sesama manusia apa lagi terhadap Allah s.w.t. Namun, anggapan Safar sebagai bulan sial dengan mengadakan pelbagai acara ritual untuk menolak bala antara adat, budaya dan amalan khurafat serta tahyul yang terus membelenggu sekelumit Muslim.
Amalan mandi Safar untuk tolak bala dan hapus dosa ini bukan sahaja karut malah dikatakan ada hubung kait dengan kepercayaan penganut Hindu melalui ritual Sangam yang mengadakan upacara penghapusan dosa melalui pesta mandi di sungai. Mufti Negeri Melaka, Datuk Wira Rashid Redza Salleh ketika diminta mengulas perkara ini berkata, tiada amalan istimewa atau tertentu yang dikhususkan untuk dirai pada bulan Safar sama ada berdasarkan ayat-ayat al-Quran, sunah Rasulullah s.a.w., sahabat mahupun para salafussoleh (para tabie).
“Amalan sunat di bulan Safar adalah sama seperti amalan-amalan sunat harian yang diamalkan sepanjang masa di bulan-bulan yang lain,” katanya. Menurutnya, kepercayaan mengenai perkara sial atau bala pada sesuatu hari, bulan dan tempat itu merupakan kepercayaan orang jahiliah sebelum kedatangan Islam. Malah tambah beliau, upacara mandi sungai atau pantai di bulan Safar ini berpunca dari kepercayaan nenek moyang terdahulu dan dikatakan ada kaitan dengan upacara keagamaan Hindu.
Dalam hubungan ini kata Rashid Redza, Rasulullah s.a.w. bersabda, Tiada jangkitan dan tiada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan bulan Safar dan larilah (jauhkan diri) daripada penyakit kusta seperti mana kamu melarikan diri dari seekor singa. (riwayat Bukhari) Sementara itu, Mufti Negeri Sabah, Datuk Ahmad Alawi Adnan pula berkata, orang Islam yang jahil dan tidak kuat pegangan akidah akan terpengaruh dengan kepercayaan ini dan seterusnya melakukan upacara khurafat sedemikian.
“Khurafat bulan Safar masih berlaku kalangan segelintir Muslim di Sabah yang jahil dan tidak faham mengenai tentang ilmu agama,” katanya.Menurut Ahmad Alawi, aktiviti karut dan khurafat ini seolah-olah jalan penyelesaian untuk mengelak mudarat sedangkan ia bertentangan dengan syarak dan akidah Islam.
Mengenai bulan Safar
1. Bulan kedua dalam kalendar Islam berdasarkan tahun Qamariah.
2. Safar bererti kosong (safir), kerana kebiasaan orang-orang Arab (jahiliah) meninggalkan rumah dan kampong untuk berperang serta membalas dendam terhadap musuh.
3. Berlaku peperangan al-Abwa’ atau Wuddan (tahun kedua Hijrah).
4. Terjadinya peperangan Zi-Amin (tahun ketiga Hijrah).
5. Terjadi peperangan (intipan) Ar-Raji’ atau Bi’ru-Ma’unah (tahun keempat Hijrah).
6. Arab jahiliah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharam bulan halal berperang (Islam memuliakan Muharam dengan mengharamkan peperangan).
Ingatan dan nasihat mufti
- Budaya dan amalan khurafat (Safar khususnya) adalah tidak beradab dan bercanggah dengan Islam.
- Amalan khurafat merosakkan akidah.
- Amalan khurafat selama-lamanya tidak boleh seiring dengan syariat Islam yang bersumberkan dalil dan nas yang murni.
- Merupakan tinggalan adab dan budaya yang jadi amalan masyarakat Arab Jahiliah.
- Khurafat tidak ada kaitan dengan sunah atau kelebihan bulan Safar.
- Suatu kesalahan jika menyandarkan Allah s.w.t. dengan sesuatu keburukan dan kejahatan.
- Khurafat adalah kepercayaan karut yang diada-adakan berpandukan perbuatan dan kejadian alam sekeliling mengikut hawa nafsu dan pengaruh syaitan.
- Segala pantang larang dan adat bulan Safar menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w.
- Setiap Muslim mesti diberi dan mencari ilmu serta memahami tentang akidah Islam secara berterusan.
- Penguatkuasaan dan tindakan undang-undang syariah ke atas pengamal khurafat perlu terus dipertingkatkan.
- Hukuman maksimum dikenakan jika disabitkan dengan kesalahan.
- Media perlu mainkan peranan menjelaskan kepada masyarakat Islam.
- Pendidikan perlu ditingkatkan termasuk melalui khutbah-khutbah Jumaat dan kelas-kelas takmir di masjid serta penyebaran melalui risalah.
- Sesuatu perkara, bulan dan hari tidak boleh dijadikan ibadah (amalan) tertentu melainkan ada sumber dari al-Quran dan hadis sahih.
- Tiada sumber sahih bulan Safar boleh mendatangkan bencana dan mala petaka.
1. Mandi safar;
- Berpesta mandi beramai-ramai sama ada di pantai atau sungai.
- Menolak bala dan buang sial.
- Menghapuskan dosa.
- Berarak diiringi alunan muzik.
- Tanda kesyukuran kerana Nabi Muhammad s.a.w. sembuh dari sakit berat.
- Minum air dalam mukun (pinggan tembikar) lama bertulis nama sahabat Nabi dan simbol Islam (bulan dan bintang) untuk membersihkan dalaman tubuh.
- Menulis ayat-ayat tertentu di kertas dan mandi bersamanya.
2. Melarang mengadakan majlis perkahwinan dan pertunangan;
- Pasangan dikhuatiri tidak kekal.
- Dibimbangi tidak mendapat zuriat.
3. Menghalang bermusafir atau berpergian jauh.
- Boleh mendatangkan bahaya atau musibah.
4. Rabu minggu terakhir bulan Safar puncak hari sial;
- Upacara ritual menolak bala dan buang sial sama ada di pantai, sungai atau rumah (Mandi Safar).
- Hadiahkan kepada diri dan keluarga dengan bacaan syahadah (3 kali), beristighfar (300 kali), ayat Kursi (7 kali), surah Al-Fil (7 kali),
- Jangan keluar rumah.
5. Membaca jampi serapah tertentu untuk menolak bala sepanjang Safar.
6. Menjamu makan makhluk halus yang dikatakan penyebab sesuatu musibah.
7. Menganggap bayi lahir bulan Safar bernasib malang;
- Perlu jalani upacara timbangan buang nasib buruk.
- Penumbuk padi, kain putih, sebekas air, seikat kayu, seperiuk nasi dan tujuh biji kelapa muda diguna semasa timbangan.
8. Mempercayai dalam perut manusia ada ‘hayyah’ (ular) yang boleh mendatangkan musibah ketika lapar.
9. Bulan Safar adalah bulan sunah. Nabi s.a.w menamakannya Safar al-Khair.
10. Safar bulan Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia.
11. Banyak kaum terdahulu yang tidak percaya kepada Allah dan Rasul telah lenyap pada bulan ini.
12. Mengamalkan membaca kalimah syahadah (3 kali) dan astaghfirullah (300 kali) sebagai pelindung bala.
13. Memberi sedekah setiap hari untuk Allah s.w.t. dengan niat menghindari musibah.
14. Membuat korban di hari ke-27 Safar untuk Allah s.w.t.
15. Baca surah Al-Fil (7 kali) dan Ayatul-Kursi (7 kali) setiap hari.
16. Ada 70,000 bala akan menimpa dunia dan hanya yang mengamalkan adab perlindungan akan diselamatkan Allah s.w.t.
Datuk Wira Rashid Redza Md. Salleh (Mufti Melaka):
“Sukar mengikis amalan khurafat Safar ini mungkin kerana ia telah menjadi adat dan warisan turun temurun sejak nenek moyang lagi.
“Pewaris adat kuno tidak beradab ini cetek dan lemah dalam pegangan agama dan mereka yang terlibat pula sukar untuk dipastikan,” katanya.
Datuk Ahmad Alawi Adnan (Mufti Sabah);
“Fatwa menghalang amalan khurafat bulan Safar pernah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah pada 18 Januari 2001. Ia sebagai panduan kepada masyarakat Islam negeri ini. “Namun seseorang itu tidak akan mampu memberi hidayah kepada seseorang lain melainkan dengan izin Allah s.w.t.
“Harus diingat, syariat Islam tidak membatalkan semua adat dan budaya terdahulu melainkan ia menyalahi syariat,” jelasnya Narul Hawa Ishak (siswi UPM).
“Saya tidak tahu pun wujud khurafat bulan Safar dalam orang Melayu sehinggalah diberitahu oleh guru ketika belajar mengenai amalan khurafat umat Islam.
“Agak memeranjat dan menghairankan. Kenapa ini boleh berlaku jika kita percaya dengan Islam. Bukankah Allah s.w.t. yang berkuasa ke atas setiap sesuatu,” katanya.
No comments:
Post a Comment