Tuesday, December 21, 2010

Minda: Usah resah hadapi musibah

KEHIDUPAN seseorang manusia di muka bumi ini sentiasa diuji Allah dengan pelbagai musibah yang silih berganti.
Saban hari umat manusia di dunia ini mengalami penderitaan ditimpa bermacam-macam musibah. Gempa bumi, banjir, tanah runtuh adalah rentetan musibah yang terpaksa dilalui manusia sejak sekian lama dan tidak henti-henti sampai kini.

Pelbagai kajian dilakukan untuk memahami fenomena alam dan menciptakan kaedah bagi menghadapi malapetaka itu, namun hingga kini tiada siapa dapat menghalangnya daripada terus melanda bumi. Bagi sesetengah manusia, segala musibah dan bencana itu kerana faktor kejadian alam bukannya daripada Allah. Tetapi kita orang mukmin mesti mempercayai segala musibah dan nikmat datang daripada Allah sebagai satu dugaan untuk menilai ketakwaan kepada-Nya. 
Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

 Jadi, sebagai hamba Allah seharusnya sikap bersabar menjadi elemen peribadi semasa berdepan dengan musibah itu.

 “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang khusyuk.” (Al-Baqarah ayat 45)

 Melalui dua cara inilah Allah menjanjikan pertolongan kepada kita dalam menangani rasa dukacita dilanda musibah. Sabar dan tunaikan solat, insya-Allah bantuan Allah akan sampai kepada kita.

Apa yang penting semasa ditimpa musibah, seseorang yang mengaku beriman kepada Allah dikehendaki bersikap sabar dan tidak terlalu bersedih hati. Allah akan memberikan ganjaran pahala yang tidak terhitung kepada orang-orang mukmin yang sentiasa bersabar tatkala mengalami musibah.

 “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang ketika musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.” (Al-Baqarah ayat 155 ). 

Inilah perkhabaran menggembirakan buat umat yang terkena musibah lalu mereka tetap tabah menghadapinya kerana faham dan insaf kejadian yang menimpanya, keluarganya, anak-anaknya serta harta bendanya satu ujian Allah untuk menguji tahap ketakwaannya.

Mari kita perhatikan satu lagi firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22-23 yang bermaksud;

 “Tiada suatu bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz ) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput daripada kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

 Mereka yang ditimpa musibah hendaklah sentiasa memperkuatkan keyakinan diri bahawa apa yang menimpanya atas kehendak Allah. Lalu dengan berdoa bermunajat kepada Allah dengan penuh sifat kehambaan dan rendah hati, pasti Allah mendengar segala rintihan kita dan mengabulkan apa yang kita minta.

Manakala Abu Al-Faraj Ibnu Al-Jauzi ada meninggalkan kepada kita enam tip dalam menghadapi musibah.

Antara katanya, hendaklah seseorang menyedari dunia ini adalah tempat ujian dan kesusahan, bukan tempat bersenang-senang. Seseorang itu juga hendaklah memahami bahawa setiap musibah adalah ketentuan daripada Allah. Tip ketiga, ialah hendaklah seseorang yang mengalami musibah itu melihat kepada musibah yang lebih besar yang pernah menimpa kepada orang lain selain dirinya. Seterusnya kata Abu Al-Faraj, hendaklah seseorang itu membandingkan antara musibah menimpanya dengan musibah yang dialami oleh orang lain, dengan demikian hatinya akan sedikit terhibur. Yang kelima, hendaklah seseorang mengharapkan ganti dari Allah sekiranya yang pergi atau hilang itu masih boleh mendapat gantinya. Dan yang terakhirnya hendaklah seseorang yang berdepan dengan musibah mengharapkan pahala dengan sentiasa bersikap sabar kerana yang demikian terbaik baginya. Inilah petua berguna dan efektif kepada kita sebagai bekalan menghadapi sebarang musibah.

Seperkara lagi yang perlu kita insafi ialah tiada gunanya kita berkeluh kesah apabila berhadapan dengan musibah. Ini kerana sikap sedemikian tidak akan memberi sebarang makna. Marilah kita hayati pesanan Yahya bin Mua’az ra; “Wahai anak Adam, mengapa kamu harus menyesal terhadap sesuatu yang luput darimu yang tidak akan kembali lagi? Mengapa pula kamu merasa bergembira terhadap sesuatu yang kamu dapatkan, padahal kematian akan mengakhiri semuanya itu? Maka ketahuilah olehmu, bahawa keluh kesah ketika ditimpa musibah itu tidak akan dapat mengembalikan apa yang luput dari dirimu dan keluhan itu hanya akan menggembirakan musuh-musuhmu, bukankah musibah itu sudah merupakan kepastian daripada Allah? Justeru, persiapkanlah diri untuk menghadapi hal itu.” Di samping itu seseorang yang mengalami musibah perlu agar berterusan berdoa dengan yakin akan pertolongan Allah. Firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60 yang bermaksud;

 “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku kabulkan permohonan itu.

Bacalah doa ini, insya-Allah Allah akan meringankan penderitaan yang dialami.





Doa Sakaratul Maut dan Tertimpa Musibah


52- MENGAJARI ORANG YANG AKAN MENINGGAL DUNIA

153- مَنْ كَانَ آخِرُ كَلاَمِهِ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
153. Barangsiapa yang akhir perkataannya adalah: Laa ilaaha illallaah, akan masuk Surga. [171]
Ketika akan meninggal dunia maka si sakit hendaknya diajarkan kalimat "Laa Ilaaha Illallah".
---------------------------------
[171] HR. Abu Dawud 3/190, dan lihat Shahihul Jami’ 5/432.
53- DOA ORANG YANG TERTIMPA MUSIBAH

154- إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ، اَللَّهُمَّ أُجُرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا.
154. “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (di hari Kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku).” [172]
---------------------------------
[172] HR. Muslim 2/632. 




No comments:

Post a Comment