Mendaftarkan pernikahan yang dijalankan di luar negara (Thai) adalah perlu sekembali pasangan ke Malaysia. Jika pasangan dari Selangor, perkahwinan tersebut hendaklah didaftarkan di Selangor. Urusan pertama sudah tentulah di Pejabat JAIS. Pasangan perlu mendaftarkan pernikahan tersebut dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pasangan kembali ke Malaysia. Jika berlaku perlanggaran undang-undang, pendaftaran nikah tidak akan dilaksanakan di peringkat pendaftar perkahwinan. Pasangan perlu ke Mahkamah Syariah untuk menentukan samada pernikahan tersebut sah atau sebaliknya.
Jika sah, mahkamah akan mengeluarkan perintah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut di pejabat Pendaftar Nikah Cerai Rujuk di JAIS. Bagaimanapun, pendaftaran tersebut adalah tertakluk kepada pendakwaan terlebih dahulu jika telah berlaku perlangaran undang-undang keluarga Islam di negeri berkenaan.
Untuk makluman, keizinan isteri sedia ada bagi perkahwinan melibatkan poligami bukanlah satu kemestian. Keizinan isteri bukanlah faktor penentu kejayaan berpoligami. Mahkamah ada kalanya menolak untuk memberi kebenaran berpoligami walaupun isteri sedia ada telah memberi persetujuannya. Mahkamah sebenarnya mempunyai pelbagai perkara dan aspek yang perlu dilihat dan dipertimbangkan. Tidak ada makna isteri izinkan suaminya berpoligami jika sekiranya tindakan berpoligami itu akan membawa mudarat dan kesusahan besar kepada suami, isteri sedia ada, anak-anak dan juga bakal isteri kedua. Justeru, haru difahami sekali lagi bahawa keizinan isteri bukan satu kemestian dalam permohionan berpoligami. Bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang jika perkahwinan poligami itu dijalankan tanpa keizinan isteri sedia ada. Apa yang sebenarnya perlu diketahui ialah, si suami perlu mendapatkan kebenaran berpoligami di Mahkamah Syariah.
Mengenai persoalan bilakah sebenarnya suatu tuntutan nafkah samada nafkah isteri atau anak dan juga tuntutan harta sepencarian boleh dikemukakan, hal ini perlu difahami. Jika nafkah tersebut dituntut oleh isteri sedia ada ke atas suami, ia boleh dituntut bila-bila masa saja. Ini kerana mereka ada pasangan suami isteri yang sah di samping pernikahan mereka juga telah didaftarkan.
Bagi isteri baru, samada kedua, ketiga atau keempat, isteri-isteri berkenaan boleh menuntut nafkah ke atas suami hanya apabila pernikahan mereka telah didaftarkan di JAIS. Salah satu dokumen penting untuk menuntut nafkah ke atas suami adalah sijil nikah atau sijil cerai jika pasangan tersebut sudah bercerai. Selagi nikah tersebut belum didaftarkan, selagi itulah pasangan tersebut sukar membuat sebarang tuntutan ke atas suami yang meliputi nafkah isteri, anak, harta sepencarian dan lain-lain yang berkaitan.
Secara asasnya, pernikahan tersebut mestilah didaftarkan terlebih dahulu di hadapan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk. Setelah didaftarkan, sijil nikah diperolehi, baharulah pihak isteri atau suami boleh mengemukakan tuntutan terhadap pihak yang satu lagi di Mahkamah Syariah. Oleh itu, pastikan ada sijil nikah terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang tuntutan di Mahkamah Syariah.
Perlu juga dimaklumi bahawa tuntutan harta sepencarian isteri sedia ada terhadap suami boleh dikemukan di mahkamah semasa prosiding atau pendengaran kes mendapatkan kebenaran berpoligami oleh suami di mahkamah syariah. penentuan harta dan kadar milikan ke atas harta pasangan sedia ada boleh ditentukan terus oleh mahkamah dalam kes poligami.Lazimnya, persetujuan dapat dicapai antara isteri sedia ada dengan suaminya. Suami lazimnya tidak banyak karenah. Boleh jadi bagi suami, yang penting jangan sampai hasratnya untuk berpoligami tertanggu lantaran desakan atau tuntutan harta sepencarian dan nafkah dari isteri.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment