Sunday, January 2, 2011

Kedekut dan cara Islam menanganinya

Oleh: Hamizul Abdul Hamid, Ketua Unit Perhubungan Awam, LZS.
Greedy Clipart Image: Greedy Man with Money Cartoon
Selalunya, orang suka menulis mengenai kemiskinan dan cara Islam menanganinya. Ini kerana, kemiskinan seringkali disinonimkan sebagai virus yang merosakkan masyarakat. Memang benar, kemiskinan yang terbiar akan membiak menjadi barah tahap empat, ia rosak dan merosakkan negara. Kerana itulah ia perlu dikawal.
Namun, penulisan kita kali ini cuba merungkai satu persoalan di sisi yang lain. Ia mengenai mereka yang kaya. Jarang orang menyebut kaya itu penyakit, apatah lagi mengumpamakannya seperti sel kanser yang kelak memusnahkan seseorang dan sesebuah masyarakat. Walhal, dalam al-Quran Allah SWT menyebut jelas, si kaya yang kedekut itu adalah suatu ejen perosak.
Perhatikan firman Allah SWT dalam paparan berikut: “Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku”. Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?,” (al-Qasas: 78)
Qarun mendabik dada, enggan berkongsi harta dengan kaum Musa. Bukan sekadar itu, dia mencabar Allah SWT bila menafikan harta itu adalah amanah Allah SWT kepadanya. Akhirnya, Allah membenam Qarun dan segala hartanya ke dalam bumi. Ia adalah suatu pembalasan, bahawa harta jika gagal ditunaik haknya dengan amanah, akan membawa kebinasaan kepada diri sendiri bahkan masyarakat.
Allah SWT menambah: “Maka Kami benamkanlah Karun bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah dia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya),” (al-Qasas: 81)
Inilah kebinasaan akibat kedekut. Walhal, awal-awal lagi Allah SWT sudah memberi ingat bahawa: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniaw dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan,” (al-Qasas: 77)
Dewasa ini, mungkin kita pernah terdengar, masih ada suara-suara sumbang manusia yang memperlekehkan sesetengah yang lain. Misalnya, si fulan itu pemalas, si fulan itu bodoh, si fulan itu degil dan sebagainya, maka sebab itulah dia miskin dan papa kedana. Ungkapan ini selalunya diucap, demi menjustifikasikan satu tindakan negatif sesetengah pihak yang kedekut. Kedekut untuk berkongsi.
Hakikatnya, kedekut itulah yang membutakan mata hati si Qarun. Maka, hari ini sifat kikir itu jugalah yang mengikis sifat ihsan diri insan dan sifat bakhil itu jugalah yang mengunci mati pintu kebajikan. Golongan ini, melihat orang yang daif dengan pandangan naif. Pandangan yang diselubungi elemen buruk sangka dan memualkan. Lalu, kesannya hanya satu – biarkan mereka tanpa dibela. Mereka tidak layak disantuni. Mereka adalah manusia jelik yang sengaja mencari alasan demi mencuri belas ehsan orang.
Pertanyaannya, betulkah persepsi ini? Benarkah manusia yang melarat itu reda dengan kemelaratan yang menguasai diri mereka? Adakah mereka suka hidup dikelilingi kepayahan, tinggal di rumah buruk, sempit dan sesak, di kelilingi pula timbunan sampah-sarap dengan aroma memualkan.  Rezeki yang dikais pagi habis, dikais petang tidak pula cukup untuk esoknya.
Benarkah jugakah bahawa kemiskinan dan kepapaan itu menjadi alat buat mereka untuk menggamit secebis simpati manusia, meraih belas dan memaksa nurani orang lain agar memberi? Benarkah bahawa mereka selesa hidup dengan kondisi serba menjerat itu, reda untuk tidak mampu merasa makanan yang enak, tidur di katil yang empuk dan dibalut dingin penyaman udara? Tega benarkah mereka?
Manusia, baik kaya atau miskin adalah sama fitrah dan nafsunya. Manusia kaya mahu makan, miskin pun mahu makan. Si kaya mahu cantik, si kaya juga mahu cantik. Si kaya mahu kaya, si miskin juga mahu kaya. Itu adalah normal, keinginan yang dijadikan Allah SWT secara samarata kepada semua manusia.
Perhatikan firman Allah SWT: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga),” (Ali Imran: 14)
Nah! Mana mungkin orang yang terdampar di pojok kemiskinan itu tidak kepingin merasa menginap di hotel lima bintang, disajikan makanan terenak di atas muka bumi, diiringi alunan irama muzik yang mendamaikan, menyarung pakaian berjenama mahal dan memiliki kereta besar serta rumah penuh kemewahan. Ini adalah keinginan yang diiktiraf oleh Allah SWT, lewat ayat di atas.
Maka, di sinilah kita perlu faham kenapa Allah SWT menjadikan kemiskinan itu sentiasa ada dalam masyarakat. Hakikatnya, Allah SWT menyatakan, miskin adalah suatu yang perlu. Perlu, sebagai neraca memastikan keseimbangan di dalam masyarakat dan menilai hati si kaya dalam mendepani mereka.
Firman Allah SWT: “Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya) ?” (al-An’am: 53)
Inilah kemiskinan, ia adalah fenomena global. Negara kaya pun ada orang miskin, apatah lagi negara miskin dan ketinggalan, maka lagilah ramai orang miskinnya. Maka, kerja orang kayalah menyantuni mereka. Memberi mereka makan agar mereka mampu terus hidup dan mencari rezeki. Memberi susu kepada anak mereka agar membesar dan kelak mampu keluar dari kemelut kepapaan. Inilah tugas orang kaya.
Maka, di sisi Allah SWT sebagai al-Khalik, sudah disediakan suatu mekanisme khas untuk menangani kondisi kaya-miskin ini. Jangan nanti, si kaya lupa daratan dan si miskin mati kelaparan. Alat bagi menjamin keseimbangan dalam masyarakat inilah yang dinamakan ‘zakat.’ Tanpanya, akan hilang keseimbangan, maka rosaklah perhubungan dan tercetuslah kegalauan.
Zakat berperanan sebagai ‘penykEDEKeimbang’. Orang-orang kaya diwajibkan memberi, orang-orang miskin dan melarat pula haknya diberi. Dua jenis ‘beri’ di sini, akan menatijahkan harmoni. Si kaya tidak jadi seperti Qarun yang lupa diri, si miskin pula terhindar daripada kekufuran yang sering menjerat diri.
Kesimpulannya, kaya dan miskin adalah suatu keseimbangan dalam masyarakat. Namun, kemiskinan bukanlah suatu dambaan. Jangan ada orang yang berangan-angan mahu menjadi miskin. Mewujudkan masyarakat tanpa orang miskin hendaklah diusahakan, sekurang-kurangnya kita wajib mensifarkan ‘kemiskinan jiwa.’ Inilah kemiskinan yang selalu merosakkan manusia. Miskin jiwa inilah, yang dihapuskan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a, lewat usia pemerintahannya kira-kira 1000 tahun yang lalu. Catatan sejarah kegemilangan zakat yang sering disebut-sebut oleh kita semua. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment